Translations | Suras |
MALAY | |
37 - AS-SAAFFAAT | |
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. | |
1 | Demi (hamba-hambaKu) yang berbaris dengan berderet-deret - |
2 | (Hamba-hambaKu) yang melarang (dari kejahatan) dengan sesungguh-sungguhnya - |
3 | (Hamba-hambaKu) yang membaca kandungan Kitab Suci; |
4 | (Sumpah demi sumpah) sesungguhnya Tuhan kamu hanyalah Satu - |
5 | Tuhan (yang mencipta serta mentadbirkan) langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dan Tuhan (yang mengatur) tempat-tempat terbit matahari. |
6 | Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang. |
7 | Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang derhaka; |
8 | (Dengan itu) mereka tidak dapat memasang telinga mendengar (percakapan malaikat) penduduk langit dan mereka pula direjam (dengan api) dari segala arah dan penjuru, |
9 | Untuk mengusir mereka dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak putus-putus. |
10 | Kecuali sesiapa di antara Syaitan-syaitan itu yang curi mendengar mana-mana percakapan (malaikat), maka dia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menjulang lagi menembusi. |
11 | (Setelah nyata kekuasaan Kami) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka (yang ingkarkan hidupnya semula orang-orang mati): Adakah diri mereka lebih sukar hendak diciptakan atau makhluk-makhluk lain yang Kami telah ciptakan? Sesungguhnya Kami telah mencipta mereka dari tanah liat (yang senang diubah dan diciptakan semula). |
12 | (Pertanyaan itu tidak juga berfaedah kepada mereka) bahkan engkau merasa hairan (terhadap keingkaran mereka) dan sebaliknya mereka mengejek-ejek (peneranganmu). |
13 | Dan apabila diperingatkan, mereka tetap tidak mahu menerima peringatan itu. |
14 | Dan apabila mereka melihat sesuatu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami dan kebenaranmu), mereka mencari-cari jalan memperolok-olokkannya, - |
15 | Serta mereka berkata: Ini tidak lain hanyalah sihir yang nyata. |
16 | Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan dibangkitkan hidup semula? |
17 | Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu (akan dibangkitkan hidup semula)? |
18 | Jawablah (wahai Muhammad): Ya, benar !(Kamu semua akan dibangkitkan) dengan keadaan hina-dina. |
19 | (Kebangkitan ini mudah) kerana sesungguhnya ia boleh berlaku hanyalah dengan suara sahaja, maka dengan serta mereka semuanya (bangkit) melihat (apa yang akan jadi). |
20 | Dan (pada saat itu) mereka berkata: Wahai celakanya kami, ini ialah hari balasan! |
21 | (Lalu malaikat berkata kepada mereka): Ini ialah hari memutuskan hukum untuk memberi balasan yang dahulu kamu mendustakannya. |
22 | (Allah berfirman kepada malaikat): Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda-benda yang mereka sembah - |
23 | Yang lain dari Allah serta hadapkanlah mereka ke jalan yang membawa ke Neraka. |
24 | Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana sesungguhnya mereka akan disoal: |
25 | Mengapa kamu tidak bertolong-tolongan (sebagaimana yang kamu dakwakan dahulu? |
26 | (Mereka pada ketika itu tidak dapat berbuat apa-apa) bahkan mereka pada hari itu menyerah diri dengan hina (untuk diadili); |
27 | Dan masing-masing pun mengadap satu sama lain, sambil kata mengata dan cela mencela. |
28 | Pengikut-pengikut berkata (kepada ketuanya): Sesungguhnya kamu dahulu selalu datang menyekat kami (daripada beriman) dengan menggunakan kuasa kamu. |
29 | Ketua-ketuanya menjawab: (Tidak!) Bahkan kamulah sendiri tidak mahu menjadi orang-orang yang beriman! |
30 | Dan kami (selain daripada mengajak kamu (tidak mempunyai sebarang kuasa memerintah kamu, bahkan kamu sememangnya kaum yang melampaui batas. |
31 | (Dengan keadaan diri kita yang sedemikian) maka tetaplah di atas kita janji seksa (yang dijanjikan) oleh Tuhan kita, bahawa kita semua tentu akan merasai (azab itu). |
32 | (Dengan sebab ketentuan yang tersebut) maka kami pun mengajak kamu menjadi sesat, kerana sebenarnya kami adalah orang-orang sesat |
33 | Maka sesungguhnya mereka semua pada hari itu, menderita azab bersama. |
34 | Sesungguhnya demikianlah Kami melakukan kepada orang-orang yang berdosa. |
35 | Sebenarnya mereka dahulu apabila dikatakan kepadanya; (ketahuilah, bahawa) tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Allah mereka bersikap takbur mengingkarinya, - |
36 | Serta mereka berkata: Patutkah kami mesti meninggalkan tuhan-tuhan yang kami sembah, kerana mendengar ajakan seorang penyair gila? |
37 | (Tidak! Nabi Muhammad bukan penyair dan bukan pula seorang gila) bahkan ia telah membawa kebenaran (tauhid) dan mengesahkan kebenaran (tauhid) yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang terdahulu daripadanya). |
38 | Sesungguhnya kamu (wahai orang-orang musyrik) akan merasai azab seksa yang tidak terperi sakitnya. |
39 | Dan kamu tidak dibalas melainkan (dengan balasan yang sepadan) dengan apa yang kamu telah kerjakan; |
40 | Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik, |
41 | Mereka itu beroleh limpah kurnia yang termaklum, |
42 | Iaitu buah-buahan (yang lazat), serta mereka mendapat penghormatan, |
43 | Di dalam Syurga-syurga yang penuh melimpah dengan berjenis-jenis nikmat. |
44 | Mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin-pelamin kebesaran; |
45 | Diedarkan kepada mereka piala yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir, |
46 | Minuman itu putih bersih, lagi lazat rasanya, bagi orang-orang yang meminumnya, |
47 | Ia tidak mengandungi sesuatu yang membahayakan dan tidak pula mereka mabuk kerana menikmatinya. |
48 | Sedang di sisi mereka ada pula bidadari-bidadari yang tidak menumpukan pandangannya melainkan kepada mereka, lagi yang amat indah luas matanya; |
49 | (Putih kekuning-kuningan) seolah-olah mereka telur (Burung Kasawari) yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. |
50 | (Tinggallah penduduk Syurga itu menikmati kesenangan), lalu setengahnya mengadap yang lain, sambil berbincang dan bertanya-tanyaan. |
51 | Seorang di antaranya berkata: Sesungguhnya aku (di dunia) dahulu, ada seorang rakan (yang menempelak daku). |
52 | katanya: Adakah engkau juga salah seorang dari golongan yang mengakui benarnya (kebangkitan orang-orang mati pada hari akhirat)? |
53 | Adakah sesudah kita mati dan menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan (dihidupkan semula serta) dibalas apa yang telah kita lakukan? |
54 | (Setelah menceritakan perihal rakannya itu) dia berkata lagi: Adakah kamu hendak melihat (keadaan rakanku yang ingkar itu)? |
55 | Maka dia pun memandang (ke arah Neraka), lalu dilihatnya rakannya itu berada ditengah-tengah Neraka yang menjulang-julang. |
56 | Dia pun (menempelaknya dengan) berkata: Demi Allah! Nyaris-nyaris engkau menceburkan daku dalam kebinasaan. |
57 | Dan kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian Tuhanku (dengan hidayat petunjuk), nescaya akan menjadilah daku dari orang-orang yang dibawa hadir (untuk menerima balasan azab). |
58 | (Kemudian dia berkata kepada rakan-rakanya yang sedang menikmati kesenangan di Syurga bersama): Bukankah kita (setelah mendapat nikmat-nikmat ini) tidak akan mati lagi; |
59 | Selain dari kematian kita yang dahulu dan kita juga tidak akan terkena seksa? |
60 | Sesungguhnya (nikmat-nikmat kesenangan Syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar. |
61 | Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia). |
62 | Manakah yang lebih baik, limpah kurniaan yang termaklum itu atau pokok zaqqum? |
63 | Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat). |
64 | Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar Neraka yang marak menjulang; |
65 | Buahnya seolah-olah kepala Syaitan-syaitan; |
66 | Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya. |
67 | Kemudian, sesungguhnya mereka akan beroleh lagi (selain itu) satu minuman campuran dari air panas yang menggelegak. |
68 | Setelah (mereka dibawa minum) maka tempat kembali mereka tetaplah ke dalam Neraka yang menjulang-julang. |
69 | Sebenarnya mereka telah mendapati datuk nenek mereka berada dalam kesesatan; |
70 | Lalu mereka terburu-buru menurut jejak langkah datuk neneknya. |
71 | Dan demi sesungguhnya, telah sesat juga sebelum kaummu (wahai Muhammad) kebanyakan kaum-kaum yang telah lalu. |
72 | Pada hal, demi sesungguhnya, Kami telahpun mengutus dalam kalangan kaum-kaum itu, Rasul-rasul pemberi amaran. |
73 | Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan Rasul-rasul Kami) setelah diberi amaran, - |
74 | Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat dan mendapat sebaik-baik balasan). |
75 | Dan demi sesungguhnya, Nabi Nuh telah berdoa merayu kepada Kami (memohon pertolongan), maka Kami adalah sebaik-baik yang kabulkan doa permohonan. |
76 | Dan Kami telah selamatkan dia bersama-sama dengan keluarga dan pengikut-pengikutnya, dari kesusahan yang besar. |
77 | Dan Kami jadikan zuriat keturunannya sahaja orang-orang yang tinggal hidup (setelah Kami binasakan kaumnya yang ingkar). |
78 | Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: |
79 | Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam ! |
80 | Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan amal-amal yang baik. |
81 | Sesungguhnya Nabi Nuh itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. |
82 | Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mendustakannya). |
83 | Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim. |
84 | Ketika dia mematuhi perintah tuhannya dengan hati yang suci murni. |
85 | Ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: Apa yang kamu sembah? |
86 | Patutkah kamu menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah, kerana kamu memutar belitkan kebenaran semata-mata (bukan kerana benarnya)? |
87 | Maka bagaimana fikiran kamu pula terhadap Allah Tuhan sekalian alam? |
88 | Kemudian dia memandang dengan satu renungan kepada bintang-bintang (yang bertaburan di langit), |
89 | Lalu berkata: Sesungguhnya aku merasa sakit (tak dapat turut berhari raya sama). |
90 | Setelah (mendengar kata-katanya) itu, mereka berpaling meninggalkan dia. |
91 | Lalu dia pergi kepada berhala-berhala mereka secara bersembunyi, serta dia bertanya (kepada berhala-berhala itu, secara mengejek-ejek): Mengapa kamu tidak makan? |
92 | Mengapa kamu tidak menjawab? |
93 | Lalu dia memukul berhala-berhala itu dengan tangan kanannya (sehingga pecah berketul-ketul). |
94 | (Setelah kaumnya mengetahui hal itu) maka datanglah mereka beramai-ramai kepadanya. |
95 | (Bagi menjawab bantahan mereka), dia berkata: Patutkah kamu menyembah benda-benda yang kamu pahat? |
96 | Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu! |
97 | (Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu. |
98 | Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya). |
99 | Dan Nabi Ibrahim pula berkata: Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, Dia akan memimpinku (ke jalan yang benar). |
100 | Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh! |
101 | Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar. |
102 | Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar. |
103 | Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), |
104 | Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! |
105 | Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. |
106 | Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; |
107 | Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; |
108 | Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: |
109 | Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!. |
110 | Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. |
111 | Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. |
112 | Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh. |
113 | Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri. |
114 | Dan demi sesungguhnya! Kami telah melimpahkan nikmat pemberian kepada Nabi Musa dan Nabi Harun. |
115 | Dan Kami selamatkan keduanya dan kaumnya dari kesusahan yang besar; |
116 | Dan Kami menolong mereka sehingga menjadilah mereka orang-orang yang berjaya mengalahkan (lawannya); |
117 | Dan Kami berikan kepada keduanya Kitab Suci yang amat jelas keterangannya; |
118 | Dan Kami berikan hidayat petunjuk kepada keduanya ke jalan yang lurus. |
119 | Dan Kami kekalkan bagi keduanya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: |
120 | Salam sejahtera kepada Nabi Musa dan Nabi Harun! |
121 | Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. |
122 | Sesungguhnya mereka berdua adalah dari hamba-hamba Kami yang beriman. |
123 | Dan sesungguhnya Nabi Ilyas adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus. |
124 | (Ingatkanlah peristiwa) ketika dia berkata kepada kaumnya: Hendaklah kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya. |
125 | Patutkah kamu menyembah berhala Ba'la dan kamu meninggalkan (ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta? |
126 | Iaitu Allah Tuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu! |
127 | Maka mereka mendustakannya; akibatnya mereka tetap akan dibawa hadir (untuk diseksa), |
128 | Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat dan mendapat sebaik-baik balasan). |
129 | Dan Kami kekalkan bagi Nabi Ilyas (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: |
130 | Salam sejahtera kepada Nabi Ilyas! |
131 | Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. |
132 | Sesungguhnya Nabi Ilyas itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. |
133 | Dan sesungguhnya Nabi Lut adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus. |
134 | (Ingatkanlah peristiwa) ketika kami selamatkan dia dan keluarga serta pengikut-pengikutnya semuanya, |
135 | Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang dibinasakan. |
136 | Kemudian Kami hancurkan yang lain (dari pengikut-pengikut Nabi Lut). |
137 | Dan sesungguhnya kamu (yang menentang Nabi Muhammad): Berulang-alik (melalui bekas-bekas tempat tinggal) mereka, semasa kamu berada pada waktu pagi. |
138 | Dan juga pada waktu malam; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?. |
139 | Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus. |
140 | (Ingatkanlah peristiwa) ketika dia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat. |
141 | (Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah dia dari orang-orang yang kalah yang digelungsurkan (ke laut). |
142 | Setelah itu dia ditelan oleh ikan besar, sedang dia berhak ditempelak. |
143 | Maka kalaulah dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), |
144 | Tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur. |
145 | Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang dia berkeadaan sakit. |
146 | Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar. |
147 | Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih. |
148 | (Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing). |
149 | (Oleh sebab ada di antara kaum musyrik Arab yang mendakwa bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka itu: Adilkah mereka membahagi untuk Tuhanmu anak-anak perempuan dan untuk mereka anak-anak lelaki? |
150 | Atau adakah mereka hadir sendiri menyaksikan Kami mencipta malaikat-malaikat itu perempuan? |
151 | Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya, dengan sebab terpesongnya dari kebenaran, mereka berkata: |
152 | Allah beranak; sedang mereka, sesungguhnya adalah orang-orang yang berdusta! |
153 | (Patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak dan anak itu pula ialah anak-anak perempuan yang kamu tidak sukai?) Adakah Tuhan memilih serta mengutamakan anak-anak perempuan dari anak-anak lelaki (sedang kedua-dua jenis itu Dialah yang menciptakannya)? |
154 | Apa sudah jadi kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)? |
155 | Setelah ditegur, maka tidakkah kamu mahu berusaha mengingatkan (bahawa Allah mustahil bagiNya anak-pinak)? |
156 | Atau adakah kamu mempunyai sebarang bukti yang nyata (menerangkan bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah)? |
157 | (Kiranya ada) maka bawalah kitab kamu (yang menerangkan demikian), jika betul kamu orang-orang yang benar. |
158 | (Mereka telah mengatakan perkara yang mustahil) serta mengadakan pertalian kerabat di antara Allah dan malaikat, padahal demi sesungguhnya malaikat itu sedia mengetahui bahawa sebenarnya orang-orang yang melakukan demikian akan dibawa hadir (ke dalam azab pada hari akhirat). |
159 | Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan itu! |
160 | Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik, (maka mereka akan terselamat dan akan mendapat sebaik-baik balasan). |
161 | Maka sebenarnya kamu (wahai orang-orang musyrik) dan apa yang kamu sembah itu. |
162 | Tidak akan dapat merosakkan perhubungan seseorang dengan Tuhannya; |
163 | Kecuali orang-orang yang telah ditetapkan bahawa dia akan dibakar di dalam Neraka yang menjulang-julang. |
164 | (Malaikat pula menegaskan pendirian mereka dengan berkata): Dan tiada sesiapapun dari kalangan kami melainkan ada baginya darjat kedudukan yang tertentu (dalam menyempurnakan tugasnya); |
165 | Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa berbaris (menjunjung perintah dan beribadat), |
166 | Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa bertasbih (mensucikan Allah dari sebarang sifat kekurangan)! |
167 | Dan sebenarnya mereka (yang musyrik) itu dahulu pernah berkata: |
168 | Kalaulah ada di sisi kami Kitab Suci dari (bawaan Rasul-rasul) yang telah lalu |
169 | Tentulah kami akan menjadi hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik! |
170 | (Setelah Al-Quran diturunkan kepada mereka) mereka mengingkarinya; oleh itu mereka akan mengetahui kelak (akibat kekufurannya). |
171 | Dan demi sesungguhnya! Telah ada semenjak dahulu lagi, ketetapan Kami, bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi Rasul - |
172 | Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan |
173 | Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran). |
174 | Oleh itu berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa. |
175 | Dan lihat (apa yang akan menimpa) mereka; tidak lama kemudian mereka akan melihat (kemenangan yang telah Kami tetapkan untukmu). |
176 | Maka tidaklah patut mereka meminta disegerakan azab (yang telah ditetapkan oleh) Kami! |
177 | Kerana apabila azab itu turun dalam daerah dan kawasan mereka, sudah tentu buruklah hari orang-orang yang tidak mengindahkan amaran yang telah diberikan. |
178 | Dan berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa. |
179 | Dan lihatlah (apa yang akan jadi); tidak lama kemudian, mereka pun akan melihat juga. |
180 | Akuilah kesucian Tuhanmu, Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, dari apa yang mereka katakan! |
181 | Dan (ucaplah) salam sejahtera kepada sekalian Rasul. |
182 | Serta (ingatlah bahawa) segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam. |
ReadTheQuran.org |