Translations Suras
MALAY

53 - AN-NAJM

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

 
1Demi bintang semasa ia menjunam,
 
2Rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah dia menyeleweng (dari jalan yang benar) dan dia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah).
 
3Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.
 
4Segala yang diperkatakannya itu (samada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.
 
5Wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (malaikat jibril) yang amat kuat gagah,
 
6Lagi yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian dia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal,
 
7Sedang dia berada di arah yang tinggi (di langit);
 
8Kemudian dia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu dia berjuntai sedikit demi sedikit,
 
9Sehingga menjadilah jarak (di antaranya dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah atau lebih dekat lagi;
 
10Lalu Allah wahyukan kepada hambaNya (Muhammad, dengan perantaraan malaikat Jibril) apa yang telah diwahyukanNya.
 
11Hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa yang dilihatnya.
 
12Jika demikian, patutkah kamu hendak membantahnya mengenai apa yang telah dilihatnya itu?
 
13Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi,
 
14Di sisi "Sidratul-Muntaha";
 
15Yang di sisinya terletak Syurga "Jannatul-Makwa".
 
16(Nabi Muhammad melihat jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa "Sidratul Muntaha" itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga.
 
17Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya) dan tidak pula melampaui batas.
 
18Demi sesungguhnya, dia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.
 
19(Setelah kamu wahai kaum musyrik Mekah mendengar keterangan yang membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah) maka adakah kamu nampak bahawa "Al-Laat" dan "Al-Uzza";
 
20Serta "Manaat" yang ketiga, yang bertaraf rendah lagi hina itu (layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)?
 
21Patutkah kamu membahagi untuk diri kamu sendiri anak lelaki (yang kamu sukai), dan untuk Allah anak perempuan (yang kamu benci)?
 
22Pembahagian yang demikian, sudah tentu suatu pembahagian yang tidak adil.
 
23Benda-benda yang kamu sembah itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan datuk nenek kamu menamakannya. Allah tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Mereka yang berbuat demikian, tidak menurut melainkan sangkaan-sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsunya. Padahal demi sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk dari Tuhan mereka.
 
24Adakah manusia tetap akan dapat mencapai segala yang dicita-citakannya? (Tidak!).
 
25Kerana Allah jualah yang menguasai segala urusan akhirat dan urusan dunia.
 
26(Golongan yang musyrik mengharapkan pertolongan benda-benda yang mereka sembah itu) padahal berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan diredhaiNya.
 
27Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat sahajalah, yang tergamak menamakan malaikat itu dengan nama perempuan,
 
28Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).
 
29Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan orang yang berpaling dari pengajaran Kami dan tidak mahu melainkan kehidupan dunia semata-mata.
 
30(Kepentingan dunia) itulah sahaja tujuan terakhir dari pengetahuan yang dicapai oleh mereka. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayat petunjuk.
 
31Dan Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; (diciptakan semuanya itu) untuk membalas orang-orang yang berbuat jahat menurut apa yang mereka lakukan dan membalas orang-orang yang berbuat baik dengan balasan yang sebaik-baiknya.
 
32(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. Dia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Dia mencipta kamu (berasal) dari tanah dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertakwa.
 
33Adakah engkau mengetahui (keburukan) orang yang berpaling (dari menurut kebenaran kerana dia dihasut)?
 
34Dan setelah dia memberi sedikit pemberiannya, dia memutuskannya (kerana menurut hawa nafsunya)?
 
35Adakah dia mempunyai pengetahuan mengenai perkara yang ghaib sehingga dia dapat mengetahui (bahawa orang lain boleh menghalang gantinya dari apa yang akan menimpanya pada hari akhirat)?
 
36Atau belumkah dia diberitahu akan apa yang terkandung dalam Kitab-kitab Nabi Musa;
 
37Dan juga (dalam Kitab-kitab) Nabi Ibrahim yang memenuhi dengan sempurnanya (segala yang diperintahkan kepadanya)?
 
38(Dalam Kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja);
 
39Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya;
 
40Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak);
 
41Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna;
 
42Dan bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmu lah kesudahan (segala perkara);
 
43Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis;
 
44Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang mematikan dan menghidupkan;
 
45Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menciptakan pasangan lelaki dan perempuan, -
 
46Dari (setitis) air mani ketika dipancarkan (ke dalam rahim);
 
47Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang tetap menghidupkan semula (makhluk-makhluk yang mati);
 
48Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang memberikan (sesiapa yang dikehendakiNya) apa yang diperlukannya dan memberikannya tambahan yang boleh disimpan;
 
49Dan bahawa sesungguhnya, Dialah Tuhan (Pencipta) Bintang Syikra;
 
50Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang membinasakan kaum "Aad" yang pertama (kaum Nabi Hud), -
 
51Dan kaum "Thamud" (kaum Nabi Soleh). Maka tidak ada seorangpun (dari kedua-dua kaum itu) yang dibiarkan hidup.
 
52Dan kaum Nabi Nuh sebelum itu (telah juga dibinasakan). Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang sangat zalim dan sangat melampaui batas.
 
53Dan bandar-bandar yang ditunggang balikkan itu, Dialah yang (mengangkatnya ke angkasa dan) menghempaskannya ke bumi;
 
54Lalu (penduduk) bandar-bandar itu diliputi azab seksa yang meliputinya.
 
55Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhanmu (yang tidak terhingga itu) engkau ragu-ragukan (wahai manusia)?
 
56(Al-Quran) ini adalah pemberi amaran di antara jenis-jenis amaran yang telah lalu!
 
57Telah hampir masa datangnya saat yang dekat itu (hari kiamat);
 
58Tidak ada sesiapapun selain Allah yang dapat menahan atau menghapuskan huru-hara hari kiamat itu.
 
59Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)?
 
60Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya) dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)?
 
61Sedang kamu adalah orang-orang yang sombong angkuh, lagi yang melalaikan kewajipan?
 
62Oleh yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Quran itu) dan beribadatlah kamu kepadaNya (dengan sepenuh-penuh tauhid).
 
 
ReadTheQuran.org