Translations Suras
MALAY

56 - AL-WAAQI'AH

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

 
1Apabila berlaku hari kiamat itu,
 
2Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya.
 
3Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar) dan meninggikan (golongan yang taat).
 
4(Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebebar-benar goncangan.
 
5Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya,
 
6Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran,
 
7Dan kamu pula menjadi tiga puak (yang berlainan keadaannya);
 
8Iaitu puak pihak kanan; alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu?
 
9Dan puak pihak kiri; alangkah seksanya keadaan puak pihak kiri itu?
 
10Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak);
 
11Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah),
 
12(Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.
 
13(Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu;
 
14Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian.
 
15(Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata;
 
16Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan.
 
17Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka;
 
18Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.
 
19Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya.
 
20Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih,
 
21Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.
 
22Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya,
 
23Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.
 
24(Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan.
 
25Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa;
 
26Mereka hanya mendengar ucapan: Selamat! Selamat! (dari satu kepada yang lain).
 
27Dan puak kanan, alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu?
 
28Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri.
 
29Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya,
 
30Dan naungan yang tetap terbentang,
 
31Dan air yang sentiasa mengalir,
 
32Serta buah-buahan yang banyak,
 
33Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya,
 
34Dan tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya.
 
35Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa,
 
36Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh),
 
37Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.
 
38(Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan;
 
39Iaitu sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu,
 
40Dan sebilangan besar dari orang-orang yang datang kemudian.
 
41Dan puak kiri, alangkah seksanya keadaan puak kiri itu?
 
42Mereka diseksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelegak
 
43Serta naungan dari asap hitam,
 
44Yang tidak sejuk dan tidak pula memberi kesenangan.
 
45Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan (dunia, dari mengingati hukum Tuhan).
 
46Dan mereka pula sentiasa melakukan dosa yang besar,
 
47Dan juga mereka selalu berkata: Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, betulkah kita akan dibangkitkan hidup semula?
 
48Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu, (akan dibangkitkan hidup semula)?
 
49Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya orang-orang yang telah lalu dan orang-orang yang terkemudian,
 
50Tetap akan dihimpunkan pada masa yang ditentukan pada hari kiamat yang termaklum.
 
51Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat),
 
52Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum,
 
53Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu,
 
54Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak,
 
55Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas.
 
56Inilah (jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu.
 
57Kamilah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan kamu hidup semula pada hari kiamat).
 
58(Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)?
 
59Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?
 
60Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan;
 
61(Bahkan Kami berkuasa) menggantikan (kamu dengan) orang-orang yang serupa kamu (tetapi tidak seperti bawaan kamu) dan berkuasa menciptakan kamu dalam bentuk kejadian yang kamu tidak mengetahuinya.
 
62Dan demi sesungguhnya, kamu telah sedia mengetahui tentang ciptaan diri kamu kali pertama, maka ada baiknya kalau kamu mengambil ingatan (bahawa Allah yang telah menciptakan kamu dari tiada kepada ada, berkuasa membangkitkan kamu hidup semula pada hari akhirat kelak).
 
63Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam?
 
64Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya?
 
65Kalau Kami kehendaki, sudah tentu Kami akan jadikan tanaman itu kering hancur (sebelum ia berbuah), maka dengan itu tinggallah kamu dalam keadaan hairan dan menyesal,
 
66(Sambil berkata): Sesungguhnya kami menanggung kerugian.
 
67Bahkan kami hampa (dari mendapat sebarang hasil)
 
68Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum?
 
69Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan) atau Kami yang menurunkannya?
 
70Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan ia masin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur.
 
71Akhirnya, tidakkah kamu melihat api yang kamu nyalakan (dengan cara digesek)?
 
72Kamukah yang menumbuhkan pokok kayunya atau Kami yang menumbuhkannya?
 
73Kami jadikan api (yang tercetus dari kayu basah) itu sebagai peringatan (bagi orang-orang yang lalaikan kebenaran hari akhirat) dan sebagai benda yang memberi kesenangan kepada orang-orang musafir.
 
74Oleh yang demikian (wahai orang yang lalai) bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar (sebagai bersyukur akan nikmat-nikmatNya itu).
 
75Maka Aku bersumpah: Demi tempat-tempat dan masa-masa turunnya bahagian-bahagian Al-Quran;
 
76Dan sebenarnya sumpah itu adalah sumpah yang besar, kalaulah kamu mengetahuinya, -
 
77Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan),
 
78Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara,
 
79Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci;
 
80Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.
 
81Patutkah kamu (wahai golongan yang kufur ingkar) bersikap sambil lewa terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini?
 
82Dan kamu jadikan sikap kamu mendustakannya (sebagai ganti) bahagian dan nasib kamu (menerima dan bersyukur akan ajarannya)?
 
83Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya;
 
84Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya, -
 
85Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat,
 
86Maka bukankah elok kalau kamu orang-orang yang tidak dikuasai (dan tidak tunduk kepada kekuasaan Kami);
 
87Kamu kembalikan roh itu (kepada keadaan sebelumnya) jika betul kamu orang-orang yang benar?
 
88Kesudahannya: Jika dia (yang mati itu) dari orang-orang "Muqarrabiin",
 
89Maka (dia akan beroleh) rehat kesenangan dan rahmat kesegaran, serta Syurga kenikmatan.
 
90Dan jika dia dari puak kanan,
 
91Maka (akan dikatakan kepadanya): Selamat sejahtera kepadamu, (kerana engkau) dari puak kanan.
 
92Dan jika dia dari (puak kiri) yang mendustakan (Rasulnya), lagi sesat,
 
93Maka sambutan yang disediakan baginya adalah dari air panas yang menggelegak,
 
94Serta bakaran api Neraka.
 
95Sesungguhnya (segala yang disebutkan) itu adalah kebenaran yang diyakini.
 
96Oleh itu, bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar.
 
 
ReadTheQuran.org