Translations Suras
MALAY

75 - AL-QIAAMAH

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

 
1Aku bersumpah dengan hari kiamat;
 
2Dan Aku bersumpah dengan "Nafsul Lawwaamah" (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!
 
3Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)?
 
4Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain).
 
5(Kebenaran itu bukan tidak ada buktinya), bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (di sepanjang hayatnya, sehingga dia tidak mengakui adanya hari kiamat).
 
6Dia bertanya (secara mengejek): Bilakah datangnya hari kiamat itu?
 
7Maka (jawabnya: Hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut),
 
8Dan bulan hilang cahayanya,
 
9Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama,
 
10(Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): Ke manakah hendak melarikan diri?
 
11Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan!
 
12Pada hari itu, kepada Tuhanmulah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara.
 
13Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang dia telah lakukan dan apa yang dia telah tinggalkan.
 
14Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri,
 
15Walaupun dia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).
 
16Janganlah engkau (wahai Muhammad) Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu).
 
17Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);
 
18Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu;
 
19Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan).
 
20Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya.
 
21Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya).
 
22Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri;
 
23Melihat kepada Tuhannya.
 
24Dan pada hari itu, muka (orang-orang kafir) muram hodoh,
 
25Sambil percaya dengan yakin bahawa mereka akan ditimpa malapetaka (azab seksa) yang membinasakan.
 
26Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong,
 
27Dan (orang-orang yang hadir di sisinya heboh) berkata: Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatnya)?
 
28Dan dia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan;
 
29Serta kedahsyatan bertindih-tindih;
 
30(Maka) kepada Tuhanmulah pada waktu itu engkau dibawa (untuk menerima balasan).
 
31(Oleh sebab orang yang kufur ingkar tidak percayakan hari akhirat) maka dia tidak mengakui kebenaran (yang diwajibkan meyakininya) dan dia tidak mengerjakan sembahyang (yang difardhukan mengerjakannya)!
 
32Akan tetapi dia mendustakan dan berpaling ingkar!
 
33Kemudian dia pergi kepada keluarganya dengan berlagak sombong megah.
 
34(Wahai orang yang kufur ingkar!) sudahlah dekat kepadamu kebinasaanmu, sudahlah dekat!
 
35Kemudian api Nerakalah lebih layak bagimu, lebih layak.
 
36Patutkah manusia menyangka, bahawa dia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?
 
37Bukankah dia berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)?
 
38Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)?
 
39Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis lelaki dan perempuan.
 
40Adakah (Tuhan yang menjadikan semuanya) itu tidak berkuasa menghidupkan orang-orang yang mati? (Tentulah berkuasa)!
 
 
ReadTheQuran.org