Translations Suras
MALAY

78 - AN-NABA'

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

 
1Tentang apakah mereka bertanya-tanya?
 
2Tentang berita yang besar, (berita kebangkitan manusia hidup semula menerima balasannya).
 
3Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya.
 
4Jangan! (Janganlah mereka bersikap demikian!) Mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu).
 
5Sekali lagi jangan! (Janganlah mereka berselisihan!) Mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka).
 
6(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?
 
7Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?
 
8Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang?
 
9Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?
 
10Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)?
 
11Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki?
 
12Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh?
 
13Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya?
 
14Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah, -
 
15Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, -
 
16Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya?
 
17Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan,
 
18Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar);
 
19Dan (pada masa itu) langit dipecah belahkan sehingga tiap-tiap belahannya menjadi ibarat pintu yang terbuka luas,
 
20Dan gunung-ganang, setelah dihancurkan, diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir.
 
21Sesungguhnya Neraka Jahannam adalah disediakan;
 
22Untuk orang-orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya.
 
23Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya.
 
24Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya dan tidak pula sebarang minuman;
 
25Kecuali air panas yang menggelegak dan air danur yang mengalir,
 
26Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk).
 
27Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal,
 
28Dan mereka telah mendustakan dengan sesungguh-sungguhnya akan ayat-ayat keterangan Kami;
 
29Dan tiap-tiap sesuatu dari bawaan hidupnya, telah Kami hitung secara bertulis.
 
30(Setelah mereka masuk ke dalam Neraka, dikatakan kepada mereka: Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu.
 
31Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini.
 
32(Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur;
 
33Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya;
 
34Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman;
 
35Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta;
 
36Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya),
 
37Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya, Tuhan Yang Maha Pemurah, tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata-kata denganNya (untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu);
 
38(Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan), tidak ada yang berani berkata-kata (memohon pertimbangan) melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta ia berkata benar.
 
39Itulah keterangan-keterangan mengenai hari (kiamat) yang sungguh tetap berlakunya; maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah dia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya (dengan iman dan amal yang soleh)!
 
40Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan).
 
 
ReadTheQuran.org