Translations | Suras |
MALAY | |
79 - AN-NAAZI'AAT | |
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. | |
1 | Demi (makhluk-makhluk) yang mencabut (apa yang ditugaskan mencabutnya) dengan cara yang sekasar-kasarnya; |
2 | Dan yang menarik (apa yang ditugaskan menariknya) dengan cara yang selembut-lembutnya; |
3 | Dan demi (makhluk-makhluk) yang cergas bergerak (menerima perintah) dengan gerak yang secergas-cergasnya; |
4 | Lalu masing-masing berlumba-lumba dahulu-mendahului (menjalankan tugasnya) dengan cara yang sesungguh-sungguhnya; |
5 | Serta menyempurnakan tadbir urusan alam yang diperintahkan kepadanya; (sumpah demi sumpah, sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat). |
6 | Pada masa berlakunya tiupan sangkakala yang pertama yang menggoncangkan alam, (sehingga mati segala yang bernyawa dan punah-ranah sekalian makhluk selain dari yang dikecualikan), |
7 | Tiupan yang pertama itu diikuti oleh tiupan yang kedua, (yang menyebabkan orang-orang yang mati semuanya hidup semula serta keluar dari kubur masing-masing); |
8 | Hati (manusia) pada hari itu berdebar-debar takut, |
9 | Pemandangannya tunduk gerun. |
10 | Mereka (yang ingkar) berkata: Sungguhkah kita akan dikembalikan hidup seperti keadaan di dunia dahulu? |
11 | Bolehkah (dihidupkan semula) sesudah kita menjadi tulang yang reput? |
12 | Mereka berkata lagi (secara mengejek: Kalaulah berlaku) yang demikian, sudah tentu kembalinya kita (hidup semula) itu satu perkara yang merugikan! |
13 | (Menghidupkan semula tidaklah sukar), kerana berlakunya perkara itu hanyalah dengan satu jeritan (yang terbit dari tiupan sangkakala yang kedua); |
14 | Yang menyebabkan mereka dengan serta-merta berada di muka bumi yang putih rata. |
15 | Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa? |
16 | Ketika dia diseru oleh Tuhannya di "Wadi Tuwa" yang suci; |
17 | (Lalu diperintahkan kepadanya): Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya); |
18 | Serta katakanlah kepadanya: Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)? |
19 | Dan mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya engkau merasa takut (melanggar perintahNya)? |
20 | (Setelah Nabi Musa menyempurnakan perintah Tuhannya dan Firaun pun meminta bukti kebenarannya); maka Nabi Musa memperlihatkan kepada Firaun: Mukjizat yang besar. |
21 | Lalu Firaun mendustakan (Nabi Musa) dan menderhaka (kepada Allah); |
22 | Kemudian dia berpaling ingkar sambil menjalankan usahanya (menentang Nabi Musa). |
23 | Lalu dia menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru; |
24 | Dengan berkata: Akulah tuhan kamu, yang tertinggi. |
25 | Maka Allah menyeksa Firaun di akhirat dan di dunia ini, dengan azab yang menakutkan sesiapa yang mengetahuinya. |
26 | Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang takut (melanggar perintah Tuhannya). |
27 | (Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)! |
28 | Dia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnaKannya, |
29 | Dan Dia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang. |
30 | Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya); |
31 | Dia mengeluarkan dari bumi itu: Airnya dan tumbuh-tumbuhannya; |
32 | Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya); |
33 | (Semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu. |
34 | Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar; |
35 | Iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya; |
36 | Dan Neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya; |
37 | Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya); |
38 | Serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata; |
39 | Maka sesungguhnya Neraka Jahannamlah tempat kediamannya. |
40 | Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; |
41 | Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya. |
42 | Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: Bilakah masa datangnya? |
43 | Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu? |
44 | Kepada Tuhanmu lah terserah kesudahan ilmu mengenainya. |
45 | Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu. |
46 | (Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: Seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja. |
ReadTheQuran.org |