Translations | Suras |
MALAY | |
80 - 'ABASA | |
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. | |
1 | Dia memasamkan muka dan berpaling, |
2 | Kerana dia didatangi orang buta. |
3 | Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! - |
4 | Ataupun dia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. |
5 | Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran), |
6 | Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. |
7 | Padahal engkau tidak bersalah kalau dia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya). |
8 | Adapun orang yang segera datang kepadamu, |
9 | Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah); |
10 | Maka engkau berlengah-lengah melayaninya. |
11 | Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). |
12 | Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah dia mengambil peringatan daripadanya. |
13 | (Ayat-ayat Suci itu tersimpan) dalam naskhah-naskhah yang dimuliakan; |
14 | Yang tinggi darjatnya, lagi suci (dari segala gangguan); |
15 | (Terpelihara) di tangan malaikat-malaikat yang menyalinnya dari Luh Mahfuz; |
16 | (Malaikat-malaikat) yang mulia, lagi yang berbakti. |
17 | Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya? |
18 | (Tidakkah dia memikirkan) dari apakah dia diciptakan oleh Allah? |
19 | Dari air mani diciptakannya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab; |
20 | Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang dia pilih); |
21 | Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya dia dikuburkan; |
22 | Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula). |
23 | Janganlah hendaknya dia kufur ingkar lagi! Sebenarnya dia belum menunaikan apa yang diperintahkan kepadanya. |
24 | (Kalaulah dia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya): |
25 | Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. |
26 | Kemudian kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan; |
27 | Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian, |
28 | Dan buah anggur serta sayur-sayuran, |
29 | Dan zaitun serta pohon-pohon kurma, |
30 | Dan taman-taman yang menghijau subur, |
31 | Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput; |
32 | Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu. |
33 | Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat; |
34 | Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, |
35 | Dan ibunya serta bapanya, |
36 | Dan isterinya serta anak-anaknya; |
37 | Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. |
38 | Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri, |
39 | Tertawa, lagi bersuka ria; |
40 | Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu, |
41 | Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita. |
42 | Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka. |
ReadTheQuran.org |