Translations Suras
MALAY

81 - AT-TAKWIIR

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

 
1Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap);
 
2Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak;
 
3Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu);
 
4Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar;
 
5Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan;
 
6Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur;
 
7Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya;
 
8Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: Ditanya,
 
9Dengan dosa apakah dia dibunuh?
 
10Dan apabila surat-surat amal dibentangkan;
 
11Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya;
 
12Dan apabila Neraka dinyalakan menjulang;
 
13Dan apabila Syurga didekatkan;
 
14(Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.
 
15Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul;
 
16Yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya;
 
17Dan malam, apabila ia hampir habis,
 
18Dan siang, apabila ia mulai terang;
 
19Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) Utusan yang mulia,
 
20Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy,
 
21Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai.
 
22Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (wahai golongan yang menentang Islam), bukanlah dia seorang gila (seperti yang kamu tuduh);
 
23Dan (Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan, kerana) demi sesungguhnya! Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata.
 
24Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara-perkara yang ghaib.
 
25Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam.
 
26(Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran)?
 
27Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam:
 
28Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul.
 
29Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.
 
 
ReadTheQuran.org