Translations | Suras |
MALAY | |
82 - AL-INFITAAR | |
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. | |
1 | Apabila langit terbelah; |
2 | Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan; |
3 | Dan apabila lautan pecah bercampur-baur; |
4 | Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan; |
5 | (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya. |
6 | Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu Yang Maha. Pemurah? |
7 | Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya; |
8 | Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Dia menyusun kejadianmu. |
9 | Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu (hai golongan yang ingkar)! Bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan. |
10 | Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu, |
11 | (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu); |
12 | Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan. |
13 | (Gunanya catitan malaikat-malaikat itu ialah: Untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) kerana sesungguhnya: Orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat; |
14 | Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam Neraka yang menjulang-julang. |
15 | Mereka menderita bakaran Neraka itu pada hari pembalasan, |
16 | Dan mereka (sentiasa berada dalam azab seksanya), tidak ghaib daripadanya. |
17 | Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu? |
18 | Sekali lagi, apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu? |
19 | (Hari itu ialah) hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain dan segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah. |
ReadTheQuran.org |