81 - AT-TAKWIIR |
|
|
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. |
|
|
1 | Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap); |
|
2 | Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak; |
|
3 | Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu); |
|
4 | Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar; |
|
5 | Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan; |
|
6 | Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur; |
|
7 | Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya; |
|
8 | Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: Ditanya, |
|
9 | Dengan dosa apakah dia dibunuh? |
|
10 | Dan apabila surat-surat amal dibentangkan; |
|
11 | Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya; |
|
12 | Dan apabila Neraka dinyalakan menjulang; |
|
13 | Dan apabila Syurga didekatkan; |
|
14 | (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya. |
|
15 | Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul; |
|
16 | Yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya; |
|
17 | Dan malam, apabila ia hampir habis, |
|
18 | Dan siang, apabila ia mulai terang; |
|
19 | Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) Utusan yang mulia, |
|
20 | Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy, |
|
21 | Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai. |
|
22 | Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (wahai golongan yang menentang Islam), bukanlah dia seorang gila (seperti yang kamu tuduh); |
|
23 | Dan (Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan, kerana) demi sesungguhnya! Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata. |
|
24 | Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara-perkara yang ghaib. |
|
25 | Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam. |
|
26 | (Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran)? |
|
27 | Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam: |
|
28 | Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul. |
|
29 | Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam. |
|